Sepanyol, aku datang!
Bismillahirrahmanirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Alhamdulillah dengan izin Allah, saya dan sahabat-sahabat yang lain berjaya menyudahkan pengembaraan di bumi Sepanyol (Spain).
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Post ini panjang. Sangat. ;)
Post ini panjang. Sangat. ;)
[La Alhambra, 17022014]
Saya masih ingat persoalan mak saudara;
"Buat apa pergi Spain? Ada apa kat sana?"
Bagi yang tidak tahu, bagi yang hanya tengok cerita Sepanyol di TV, rasanya macam tidak ada apa tentang Sepanyol. Mungkin sekadar mahu berlibur. Walhal, di situ adanya tinggalan tamadun Islam. Islam pernah bertapak di bumi Sepanyol. Islam pernah gemilang suatu ketika dulu. Pernah. Bakal kembali gemilang, biiznillah.
Mungkin kerana Sepanyol sekarang bukan negara Islam, kita tidak nampak di mana adanya Islam di situ. Padahal, Islam ada di mana-mana.
Dan kenapa kami memilih untuk ke Spain, atas sebab inilah. Cuba untuk mengetahui sejarah Islam yang pernah ada, cuba mengambil ibrah dari apa yang ditinggalkan. ;)
Turkish Airlines. Nice.
Hola Madrid! Kami berlepas pada 12/02/2014, jam 4 pagi dengan Turkish Airlines. Tika itu hanya kami bertujuh (semua akhawat) memandangkan Ustaz Azrul dan dua orang peserta ikhwah yang lain sudah bertolak awal sehari dari kami.
Tiba di Madrid-Barajas Airport, kami disambut mereka bertiga. Kami mulakan kembara dengan Madrid Tour. Hampir 2 jam lamanya hanya berada di dalam metro (komuter). Kalau jalan sendiri-sendiri, rasanya boleh sesat dalam stesen metro. Heh. Itu satu kekurangan bila berjalan dengan tour guide, tiada rasa nak mencari, hanya ikut.
Kami tinggalkan bagasi di bahagian penyimpanan bagasi di stesen bas. Dan kami mulakan tour dengan singgah di Royal Palace of Madrid. Kalau sesiapa pernah ke London, istana ini umpama Buckingham Palace. Hanya dijadikan istana singgahan untuk majlis rasmi dan di sebelahnya ada satu gereja yang besar.
Royal Palace
Kenapa kami ke sini?Sebab dikhabarkan gereja dan istana ini dibina di atas runtuhan masjid dan istana yang dibina pada zaman pemerintahan Islam. Bak kata ustaz, ciri-ciri pembinaan sebuah kerajaan Islam meliputi semua benda. Dikelilingi tembok yang masih ada sampai sekarang, dibina berdekatan dengan sungai sebagai pengairan, dibina di atas kawasan yang tinggi. Semuanya kerana strategi. Teringat belajar sejarah pada zaman sekolah dulu, tiba-tiba rasa sejarah itu sangat best!
Sungai dan Jambatan Rome
Habis pusing di sekitar kawasan istana, taman-taman dan sungai, kami teruskan perjalanan ke Stadium Real Madrid. Kos nak masuk stadium 19 Euro bersamaan RM85 dan tak berapa berminat nak masuk, maka kami berlegar-legar di luar sahaja untuk ambil gambar. Bukti dah sampai sana. Heh.Saya suka tengok bola, penyokong tegar TRW je lah tapi. =P
Siapa pemain famous Real Madrid? =P
Awal-awal lagi ustaz dah pesan untuk niat jamak taakhir, dan untuk solat kami semua singgah di masjid di kawasan penempatan orang Islam di Madrid. Rasa gembira menyelinap ke jiwa pabila bertemu kedai-kedai yang dimiliki orang Islam, bersua dengan orang Islam di Islamic Centre, mendengar azan di negara bukan Islam - walau hanya dalam masjid sahaja yang dapat didengari. Nikmat manakan yang mampu untuk didustakan lagi? :')
Malamnya, kami singgah di kedai makan milik orang Syria sebelum bertolak ke Gibraltar. Adios Madrid, jumpa di penghujung kembara pula!
Masjid - Islamic Centre
Subuh di Stesen Bas :')
Hello Gibraltar!
"Gibraltar!"
Kenapa?
"Sebab di sini di antara tempat terawal Islam mula tersebar di Spain." ;)
Menuju ke puncak Jabal Thariq
Nama Gibraltar diambil dari bahasa Arab iaitu Jabal Tariq yang dinamakan bersempena nama panglima Islam yang berjaya menawan Sepanyol ketika itu, Saidina Thariq bin Ziad. Bukit ini ditawan ketika perluasan kuasa oleh Islam pada zaman Khilafah Umayyah pada tahun 711.
"Kenapa Saidina Thariq bin Ziad memilih bukit?"
"Strategi!"
Sebab itulah bukit ini yang ditawan pada awal-awal perluasan kuasa Islam.
Mendengar kalam ustaz di puncak bukit yang pernah ditawan oleh umat Islam suatu ketika dulu berjaya merobek hati. Mereka bersungguh-sungguh mahu luaskan empayar Islam dan sebarkan dakwah kepada semua. Dan kita pada hari ini? Dilahirkan Islam, dibesarkan dalam Islam, tapi apa sumbangan yang sudah dilakukan? )'=
Gibraltar
Menjadi pelabuhan utama di Laut Mediterania
Kami bertujuh :)
Dalam gua di atas Jabal Thariq
Inilah Gibraltar. Agungnya kuasa Allah.
...
"Kita singgah di 'UK' sehari." Kami yang lain tertawa mendengar ungkapan itu.
Gibraltar berada di bawah tadbir UK dan dikatakan masih diperjuangkan oleh Spain untuk diambil kembali. Umpama kisah Batu putih yang pernah direbutkan dahulukala. All about politic. ;)
Masuk Gibraltar berjaya membuatkan saya terimbau kenangan di UK dan Scotland dulu. Rasa seronok mendengar mereka berbahasa omputih, British Accent. Rindu nak mendengar bahasa yang difahami sebenarnya. Berada di Spain, ibarat ayam dan itik. Clueless.
Gibraltar adalah sebuah tempat yang kecil dan cantik. Sangat bersih! Sangat teratur! Sangat kemas!
Kami hanya berada di sini dari pagi hingga ke petang sahaja. Kawasannya yang kecil memudahkan pergerakan dan segalanya dapat dibuat dalam masa sekejap sahaja, baik menikmati alam ciptaan Tuhan, makan, solat dan berehat. Alhamdulillah. :)
Laluan yang penuh dengan pelbagai jenis kedai
Tempat lepak dan makan!
King Fahad Mosque, Gibraltar
Nur di Gibraltar ;)
Hola Sevilla!
Kami bergerak menuju ke Sevilla pada petang hari yang sama tika melawat Gibraltar. Hanya 3 jam menaiki bas.
Sampai-sampai di Sevilla, saya sudah teruja melihat bandar 'lama' Sevilla. Cantik.
Bak kata Su, "Mc't mesti suka bandar-bandar macam ni." ;)
Padahal di Mesir banyak sahaja binaan lama yang berusia ratusan tahun, banyak saja bangunan-bangunan ukiran lama. Cuma yang membezakannya adalah bahagian penjagaan. Nampak cantik di Sevilla, bahkan di Scotland sekalipun adalah kerana dijaga dan terjaga. Rasanya kalau di Mesir dijaga sebegitu rupa, tentu cantik! ;')
Selepas check in di Apartment dan menunaikan solat, kami keluar menikmati waktu malam di Sevilla. Kami berjalan-jalan di sepanjang sungai Guadalquivir atau dalam bahasa arabnya, Wadi Kabir (Sungai yang besar). Sungai ini menghubungkan Sevilla dan Cordoba.
Sevilla pada waktu malam
Dari kejauhan, Torre Del Oro dan La Giralda
Esoknya, kami mulakan awal pagi dengan melawat Torre Del Oro atau Menara Tinjau yang dibina pada zaman pemerintahan Islam dan masih kekal hingga ke hari ini. Kemudiannya, ke Alcaza (Istana) dan disebelahnya Giralda (bell tower).
Menara Tinjau @ Torre Del Oro
Torre Del Oro
La Giralda
Sevilla pernah dikuasai oleh Islam pada tahun 712. Nama Sevilla mungkin tidak segah nama Cordoba mahupun Granada. Tapi di sini juga ada tinggalan Islam yang cukup terkenal iaitu La Giralda iaitu menara masjid yang kemudiannya diubah menjadi gereja hingga kini.
Masih ada ukiran dan seni binaan Islam yang tidak dipadam mahupun dibuang. Namun sayangnya, yang tinggal hanyalah seni ukiran. La Giralda kini sepenuhnya gereja besar di Sevilla.
Kami memilih untuk tidak masuk ke dalam Alcazar (Istana) kerana mahu menjimatkan masa untuk berada lebih lama di Plaza de Espana.
Seperti di Madrid, istana dibina berhampiran dengan tempat ibadah. Pembinaan kerajaan oleh kerajaan Islam meliputi semua perkara, baik pentadbiran mahupun soal ibadat. Kena seiring sejalan. :)
Plaza De Espana
Singgah di Plaza De Espana, kami diberi peruntukan waktu dan bebas mahu buat apa. Boleh mendayung sampan kalau mahu, naik kuda kalau malas nak buat apa-apa, ataupun berbasikal sekeliling Plaza.Saya pilih untuk berbasikal, sebab nak buang gian nak naik basikal. Kat Mesir, aib! Kat Malaysia, setahun sekali boleh naik basikal keliling rumah. =P
Puas hati singgah sini. Selain bergambar dan mendengar ustaz bercoloteh, sekurangnya ada aktiviti kendiri yang boleh dilakukan. Best! :)
Masuk tengahari, kami mula bertolak ke Cordoba. Adios Sevilla!
Hola Cordoba!
Sampai di Cordoba, lepas check in di Hotel Mariano, kami ke melawat sekitar Mesquita (masjid). Tapi kami tak terus masuk memandangkan waktu lawatan yang free hanyalah pada waktu pagi. Kami hanya berjalan di sekeliling dan tempat yang kami tuju adalah restoran halal milik warga Pakistan.
Pekena Nasi Beriani sepinggan! ;)
Kalau dah namanya orang melayu, nasi juga dicari. Memang betul pun pepatah(?) ni. Walaupun cuba nak berjimat dengan bawa bekal tuna, sardin, roti, maggi dari Mesir. Perut tetap mahu nasi. Haha.
Alhamdulillah, dua kali dapat jamu nasi di Cordoba cukup mengenyangkan. Saya cukup kagum dengan mereka yang boleh bertahan hanya dengan roti! Haha. :)
Menyusuri laluan di Cordoba
Rumah-rumah yang ada. Beginilah diluarnya. Nice.
Jambatan Rome yang masih kekal ada
Pintu Gerbang Mesquita
[15022014]
Pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi adalah waktu melawat ke dalam Mesquita. Maka, awal-awal pagi lagi kami keluar dari hotel menuju ke Mesquita.
Ustaz dah beritahu bahawa guide kat situ sangat strict, pantang kalau ada orang yang jadi tour guide. Ustaz pesan, masuk dalam Mesquita, jenguk kawasan bercermin kat lantai, tengok mihrab, dan cari ayat Quran.
Sampai-sampai sana, Ustaz langsung tak dibenarkan jejak kaki ke dalam Mesquita. Allah. Hanya kami 9 orang yang masuk ke dalam. Pusing dan pusing, cari apa yang diminta oleh ustaz.
Jujurnya, saya tak suka masuk ke dalam Mesquita. Sebabnya... entah. Tak kena dengan jiwa. )'=
Mesquita diambil dari perkataan Mosque iaitu masjid. Mesquita pada awalnya gereja, kemudian dijadikan masjid ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Rahman Ad-Dakhil dan akhirnya kembali dijadikan gereja.
Pintu masuk ke dalam Mesquita
Ayat Quran yang masih ada dan dijaga
Dalam Mesquita :)
Dipetik dari FB Thaqafiah Group; [Sila buka page ;)]
"Mesquita Cordoba, iaitu masjid yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Islam Cordoba Empayar Islam Umayyah II. Masjid ini menjadi saksi akan kegemilangan pemerintahan Islam sejak tahun 758 sehingga 1031, dan juga menjadi saksi akan kejatuhan yang menyedihkan di sini.
Masjid ini kemudiannya diubah kepada gereja pada kurun ke 15, di zaman pemerintahan King Charles V di bawah penguasaan kerajaan Castile. Peristiwa ini menjadi titik hitam buat umat Islam di mana perjanjian aman yang dimeterai semasa penyerahan Granada kepada kerajaan Catile pada tahun 1492 telah dikhianati dan dibatalkan.
Maka, bermulalah zaman hitam di mana agama Islam tidak benarkan untuk diamalkan. Umat Islam diberi pilihan samada untuk murtad atau keluar dari Sepanyol. Jika ingin beriman dan tinggal di Sepanyol, maka mereka akan dibunuh."
...
Bakal bersambung di Sepanyol, aku datang (ii)! ;)
nota : Nak tulis balik apa yang dapat hari tu, kena baca balik sejarah. -.-
nota 1 : Kenapa tulisan ni macam skema dan formal? Adehhh.
Macam buat karangan. T_T
2 comments:
(= Subhanallah!
sangatlah banyak ibrah dapat kan? jeles2. hii.
jazakillahu khairan jaza'
well written.
Bercerita soal ibrah, memang banyak...
Tip untuk mengembara : Sila study tempat yang nak pergi.
p.s : Terima kasih singgah sini! :)
Post a Comment