Pages

2 comments

Penutup 2014

Bismillahirrahmanirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Tiada siapa yang pernah menjangka, banjir yang setiap tahun berlaku akan jadi seteruk ini. Benar, tiada siapa yang pernah menduga. Banjir yang hanya datangnya dengan hujan lebat di sesetengah tempat akhirnya membawa kepada kelumpuhan tanah air tercinta, Kelantan. Allahuakbar!

Sedih. Pilu. Sebak. Risau. Bimbang. Semuanya bersatu. Teradun dalam satu rasa yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah yang maha mengetahui segala isi hati dan rasa ini.

Tersiat hati tatkala melihat gambar-gambar yang terpapar di mukabuku. Allah. Terkedu mendengar perkhabaran sahabat di sini yang sudah beberapa hari tidak dapat menghubungi ahli keluarga. Hanya air mata yang mengalir tatkala mendengar luahan hati seorang junior bahawa rumahnya sudah ditenggelami air. Allahuakbar!

Duhai sahabat, tabahlah. Hati ini merasai secebis apa yang kalian rasa. Tabahlah duhai hati. Allah ada. Pujuk hati nan walang itu dan katakanlah Allah sentiasa ada bersama kita semua.

...

Sebak menjalar ke ruang jiwa pabila deringan telefon dijawab. Alhamdulillah.

"Mama, apa cite kat rumah. Okey x? Air dah sampai kawasan rumah ke?"

"Alhamdulillah okey lagi setakat ni. Masih bertahan di rumah. Tapi semua dan pack barang masing-masing."

Allah. Hati ini terlalu fragile. Bila-bila masa saja empangan air mata akan pecah. Bertahan duhai hati. Tabahlah.

"Mama, kalau air makin naik, terus pindah ke sekolah eh." Sekolah hanya berjarak 50 meter dari rumah. Sedikit lega memikirkan penempatan banjir berhampiran rumah. Setidaknya tahu ada bangunan tinggi yang boleh mereka berteduh.

Namun, andai boleh terbang pulang ke rumah, aku mahu. Namun, itu hanya ilusi, pengaruh cerita fantasi.

"Along takyah risau. Kami semua okey. Ingat lagi masa along di Mesir tika revolusi? Mama rasa along rasa benda yang sama tika along kat sana dulu."

Ya. Kenangan itu bermain-main di benak jiwa. Yakin, perasaan itu sama. Kami menghadapi situasi yang sama ketika ini. Hanya berbeza situasi, tempat dan keadaan. Rasa yang Allah kurniakan sekarang rasa yang sama.

"Along doa banyak-banyak, buat solat hajat banyak-banyak ya?" Mama menitipkan pesan di akhir bicaranya.

Allahuakbar. Allah sedang menguji kami. Allah sedang menduga kami semua. Tabahlah!

Negeri Serambi Mekah

24 tahun membesar di Kelantan - tolak 6 tahun (study-membesar di Mesir), tak pernah lagi Kelantan diuji dengan ujian sehebat ini. Air yang mengalir dikhabarkan laju membawa bersama benda-benda yang menghalang laluannya. Ada yang kehilangan rumah. Harta benda usah diceritakan, semuanya lari dibawa arus. Bahkan ada yang sudah kehilangan keluarga. Allahuakbar!

Dalam kekalutan semua menghadapi banjir, pertolongan dari pihak berwajib (kerajaan Malaysia) bagaikan tiada.

Di mana bantuan sedangkan ramai yang terperangkap dalam rumah sendiri tanpa bekalan eletrik?
Di mana bantuan sedangkan ramai yang sudah mula kelaparan di kawasan penempatan banjir?

Ya, mungkin banjir dan arus deras menyukarkan bantuan untuk tiba. Tapi bukankah negara kita punyai aset yang hebat - yang sentiasa dipertontonkan di kaca tv. Hanya hiasan sematakah?
Atau hanya kerana kami adalah rakyat Kelantan? Allah.

Penutup 2014

Tinggal beberapa hari lagi, tahun 2014 bakal melabuhkan tirai. Dan tahun ini saja sudah banyak kejadian yang Allah tegur kita. Kehilangan MH370 yang hingga kini tidak ketahuan nasibnya. Kisah MH17 yang ditembak jatuh. Dan sekarang, banjir yang melanda.

Duhai hati,
adakah kita masih terawangan dengan cinta dunia?
adakah masih tidak 'terasa' dengan ujian dan teguran Allah kepada kita?


Dan sekarang kita semua diuji. Allah sedang menduga kita semua. Allah mahu kita bergantung sepenuhnya pada Dia. Tanpa perlu berharap pada manusia lagi. 

Allah datangkan ujian bersebab, tak pernah tidak ada hikmat disebaliknya. Moga Allah masih celikkan hati kita mahu menerima teguranNya. Moga. :')

"Ya Allah, berat ujian yang Kau berikan ini. Daku mohon padaMu ya Allah, ampunilah dosa kami semua, bantulah kami yang hina dan penuh dengan noda ini. Bantulah kami ya Allah. Engkaulah sebaik-baik pelindung dan tempat bergantung."





Hanya doa yang mampu dikirimkan buat keluarga, sahabat handai, rakyat Kelantan dan semua yang ditimpa musibah banjir. Moga Allah cekalkan hati semua menempuhi dugaan dan ujian ini.
Allah ada. Allah ada. InsyaAllah segalanya akan kembali pulih. Biiznillah.
:')





Jauh di perantauan,
Izzati Hashim.
Anak jati Kelantan. 

0 comments

Setulus hati

Bismillahirrahmanirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

12 November 2007.
Lahirnya seorang lagi khalifah Allah di muka bumi. 

"Babyyyyy, happy birthday!" Kuat ucapan diberikan tanpa menghiraukan hiruk pikuk suasana di universiti.

...

"Ko cakap dengan siapa tadi?" Tanya orang sebelah.

"Oh. Adik bongsu aku. Hari ni birthday dia."

"Adik ko umur berapa masih panggil baby?"

"Dah nak habis darjah satu dah pun." Sengeh.

Haila Nur Amal Humaira. Kalau Amal dah besar sekalipun, along tetap akan panggil baby. ;)

Orang pakai tudung bawal belit-belit, dia pun nak belit-belit juga. Haila.  

Setulus Hati

Balik cuti summer tiap-tiap tahun, benda yang diutarakan oleh si kecil ni, "Along, jomlah ajak abah pergi Tok Bali." 2 tahun lepas, mereka dah pergi, tapi alongnya tiada di Malaysia ketika itu. Tak cukup korum kata si kecil, kena pergi lagi sekali.
Dan balik tiap-tiap tahun, itulah yang diajaknya. Namun dek kerana kekangan masa dan sebagainya, tak pernah menjadi trip ke Tok Bali. Time along ada di Malaysia, yang lain masih di universiti. 

Balik summer tahun ni, sekali lagi si kecil tanya bila nak pergi sana. Okeylah. Jom pergi tahun ni! Masing-masing cari cuti yang semua ada di rumah. Cari punya cari, alhamdulillah ada. Yeay!

Rancang punya rancang, seminggu sebelum pergi, ada sesuatu yang terjadi dan melibatkan kewangan. Nak pergi melancong, bukannya boleh main pergi. Bajet benda nombor satu kena fikir. Apatah lagi mahu pergi ramai. Kan? :)

Bincang dengan mama, kata sepakat diambil, kita tunda dulu. Pergi lain kali. Dan bila si kecil dapat tahu, mogok nangis. Haila Amal Humaira. Sedih along tengok. Ish.

"Apa kata, kalau kita sepakat keluarkan duit poket sendiri-sendiri?" Kami adik beradik berbincang. Ya lah, nak keluarkan duit poket sendiri dalam keadaan semua orang masih belajar, bukannya senang. Apa yang penting, b
oleh ringankan bebanan abah.[Patutlah angah suruh along kerja cepat-cepat hahaha. Sian abah seorang diri tanggung semua orang. T___T]

"Boleh!" Alhamdulillah, semua tak kisah.  Along tahu, adik-beradik along semua awesome! :)

Tiba-tiba, "Nah along. Ambil duit baby juga." Dihulurnya duit raya yang dia ada.

Allah. Sebak. Kena cool. Mata mama dah merah.

"Wahhh. Baby pun nak bagi juga?"

"Mestilah!" Semangat dia menjawab. Terkejut kerana dia memahami apa yang kami bincangkan.

Allah. Tulusnya hati seorang kanak-kanak. 

Belajar untuk Ikhlas

Setiap saat, setiap ketika, apa yang sedang kita lakukan, ada sesuatu yang Allah mahu berikan. Sebab itulah kita kena belajar untuk ikhlas. Walau berat sekalipun, tetap kena ikhlas. Biar amal yang kita lakukan, sampai pada Tuhan. Moga memberatkan mizan kita kelak. Biiznillah.

Rasanya, kita boleh belajar dari anak-anak kecil. Tutur katanya, perlakuannya yang kita rasakan comel dan innocent, itulah yang terzahir dari lubuk hatinya sendiri. Allah.

:)






Nota : Tadi abah tanya, bila cuti paling dekat. Abah nak suh balik eh? hehehe. Homesick. -.-

0 comments

Be brave

Bismillahirrahmanirrahim
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Hembusan angin sejuk mula terasa. Walaupun pak cik yang menjaga dewan bangunan kelas masih setia memasang penghawa dingin.

Duduk dalam kelas, ramai pula tu, terasa juga bahang kepanasannya. Tapi bila keluar, angin sejuk mula menyapa. Subhanallah.

Petanda musim sejuk kian menjengah. :)



Along, be confident!

Dua minggu terawal kuliah, terasa 'serabut' kehidupan. Masih tercari-cari hala tuju, macam mana nak study dan cover subjek-subjek yang ada. Tambah-tambah di tahun akhir ni, setiap dua minggu akan ada exam kecil. Tambahan pula lagi, ada seminar atau presentation yang wajib dilaksanakan oleh semua orang. Bertambah haru biru. Gulp.


Antara seminar dan exam, rasanya seminar lagi menakutkan. Serius. Sebabnya, saya bukanlah seorang yang suka bercakap di hadapan. Apatah lagi bakal dinilai oleh seorang profesor. Gulp.

Namun, kerana setiap orang wajib melaksanakannya atau tiada markah akan diberikan, maka dengan hati nan walangnya, kena laksanakan jua.

"Ala, pelajar kat Malaysia ni dah tak heran pun. Selalu sangat kena." Ujar si Angah yang dah berjaya habiskan diplomanya. Tahniah! ;)

Kan. Selalu sangat sampai dah tak rasa apa-apa. But not for me. Untuk memberikan sepatah kata, ia menuntut seribu satu semangat. Maybe that's why, i love to write because i know that i'm not good in words. Seriously. :(


"Angah, cane nak buat ni. Cuak."

"Ala, buat je. Baca awal-awal dan present. Apa yang penting just be confident."

Huhuhu.

...

Minggu yang ditakuti tiba. Nangis. Berdebar tapi cuba untuk bertenang. Semangat dari kawan-kawan satu group berjaya mengurangkan debar di hati.

Di akhirnya, lepas saja presentation, terasa semua bebanan yang ada terbang melayang. Alhamdulillah. Lega. Gembira berjaya melawan rasa hati. 



Buku yang patut dibaca :)

Be confident. Yeahh.

Lagipun, apa yang orang rasa tentang kita, itu tidak penting sama sekali. Apa yang kita mahu dan rasa, itu jauh lagi bagus. :)





Nota : RK pesan, janalah pendapatan dengan menulis. Menulis dekat blog apa yang dapat? Haha. 

3 comments

Final Year!

Bismillahirrahmnirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Alhamdulillah, alhamdulillah. Nikmat manakah yang mampu didustakan lagi?

:)

Saat dapat khabar berita result tahun lima dah keluar, jantung terasa terhenti.
Cuak. Kalau result tahun 4 yang lalu keluar malam raya, tika baru lepas berbuka puasa, tahun ni keluar selepas seminggu raya. Meroyan budak-budak arab. Haila.

Alhamdulillah, I'm officially final year student!

Alhamdulillah syukur. Gembira. Dan dalam masa yang sama, takut. Final year student? Gulp. Moga Allah mudahkan perjalanan kami satu batch tahun akhir MBBCh Kasr El-Ainy Medical School, Cairo University. Biiznillah. :)

Big Ben!
- kitaorg je yang panggil mcm tu, nama dia lain. haha. Port budak Malaysia ambil gambar - 

Perjuangan diteruskan

Alhamdulillah dah beberapa hari kelas bermula. Kelas macam biasa. Minggu pertama ni tak terasa lagi bahang kesibukannya memandangkan ada kelas yang belum start lagi. Maka, mari kita enjoy dulu! Hahaha.Teruk betul. Padahal cuti dah 3 bulan lamanya.

Bak kata RK, "Cherish the moments, not enjoy the moments."

Indeed. :)

Teringat pesanan senior, "Kalau tahun akhir ni pun nak main-main lagi tak tahu nak kata apa. Kalau tahun akhir ni tahu nak relax saja, baik tak payah nak bercita-cita tinggi jadi doktor."

Pedas. Tapi kena telan dan hadam.

Kawan-kawan pun ada pesan, "Jangan lupa study dari awal tahun. Baca buku yang ada 4 volume tu awal-awal."

Baik. InsyaAllah. Terima kasih untuk peringatannya. :)

Jumpa adik-adik junior yang baru, terasa bagai 'tua'. Nah, betullah. Kalau dikira ikut tahun, kamilah yang paling senior hatta dalam kalangan budak arab memandangkan mereka masuk universiti dalam usia 17 tahun.

:)

...

Dalam berbaki setahun 4 bulan saja lagi, banyak rasanya yang perlu dicapai dan dilakukan di sini. Habiskan mana yang patut. Tambah pengalaman yang mana ada peluang.
Biiznillah.

:)





2 comments

Tamparan Itu

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Lama tak jenguk blog sendiri. Rindu. Walaupun mungkin tiada yang datang menjenguk, tidak mengapa. Di blog inilah rasa rindu nak menulis dilunaskan. :')

Alhamdulillah dengan nikmat iman dan Islam, nikmat dapat bertemu dengan keluarga setelah berbulan terpisah dengan keluarga demi sebuah perjuangan. Alhamdulillah. :')

Ujian, menguatkan.

Esok, 4/9 ada sahabat-sahabat satu batch yang akan mengambil ujian dur thani. Moga Allah mudahkan urusan sahabat semua, moga Allah lapangkan dan mudahkan untuk menjawab exam. 

Pernah suatu ketika Allah uji perkara yang sama, situasi yang sama, pernah duduk di tempat mereka membuatkan hati cepat berkata, `Tuhan kuatkan semangat mereka!'

Bukan mudah nak mengatakan aku terima ujian ini dengan redha di saat mereka yang lain gembira menerima keputusan. Bahkan bukan mudah terpaksa memendekkan cuti yang lama untuk kembali berjuang di atas kertas. 

Namun apabila Allah kata tidak ada ujian yang lebih dari kemampuan diri sendiri, mengapa tidak kita cuba berlapang dada menerima ketentuan Ilahi? 

Heh. Cakap senanglah. -.-

Ya. Tapi tugas kita sebagai hamba untuk belajar untuk menerima. Kan? :)

Terima kasih untuk `tamparan' itu

"I think you take this exam lightly." Ayat penyata seseorang yang menyenakkan jiwa bertahun lalu.

"Haa? Sedap hati dia saja keluarkan ayat macam tu, bukannya dia yang ambil exam ni." Getus suara hati yang menidakkan.

Pada mulanya terasa dengan kenyataan yang dilemparkan. Hoi suka hati dia saja. Namun rupanya apa yang dikatakan menjadi satu semangat; aku tak pernah main-main. Titik.

Dan alhamdulillah result tahun empat dan kemudiannya tahun lima mampu membuatkan hati tersenyum keriangan. Maju setapak. Usaha tangga kejayaan plus rezeki dari Allah semuanya. Bukan penghargaan dari manusia yang diharapkan tapi redha Allah mengatasi segalanya. :)

"Kakak, saya bangga dengan kakak."
Malam dapat result saya dapat mesej tersebut. Terharu.

Min haza fadhli rabbi. :')

Pujuklah hati itu

Berbicara tentang sebuah kegagalan, tiada siapa yang mahu merasainya. Berbicara tentang ujian, tiada siapa mahu merasai yang pahit-pahit.

Tanpa kegagalan, mana tahu manisnya kejayaan.
Tanpa ujian, mana tahu manisnya sebuah  kehidupan.

Maka, yakinlah tiap apa yang Allah beri itu yang terbaik. Ada hikmat yang boleh dikorek, ada bekalan yang baik untuk kita bawa pada masa hadapan. :)

Nota : Alhamdulillah dah bergelar tahun akhir secara rasmi. Pecut untuk setahun setengah! Biiznillah. :)

Nota 1 : Nak raya Aidiladha kat Malaysia aci dop? ;)











1 comments

Sabarlah!

Bismillahirrahmanirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Dumm. 

Pintu dihempas dengan kuat. Puas.

Ada mata yang memandang, namun langsung tak diendahkannya. Apa yang pasti, hati itu puas. Biar mereka tahu dia marah! Ya, marah yang bukan sedikit. 

...

Sepanjang dalam kelas, fikiran melayang-layang. Terbayang mata-mata yang memandang, usai dia keluar dari bangunan tadi. Ironinya, hati dia mula rasa bersalah.

Tak patut untuk dia berbuat sedemikian rupa. Kenapalah laju sangat tangan menghempas pintu tadi? Hati dia mengutuk keras. 


"Nah. Apa nak dirisaukan. Biar mereka tahu ko tengah marah. Ko tak suka dengan apa yang mereka lakukan." Hati kembali memujuk. Denial.
...

"Mari saya tolong kamu."

"Eh, xpelah. Saya boleh buat sendiri."

"Sini."

Akhirnya, orang yang dia marah-marah tadi yang tolong dia.
Enough said. Allah hukum terus dengan rasa bersalah melimpah ruah. 



Kena didik diri untuk sentiasa bersabar.
Belajar. Walaupun susah.
Kena cuba, walaupun sentiasa kalah dengan nafsu sendiri.

Nah.
Cakap senanglah!
Cuba kalau kena uji dengan sesuatu benda. Tengok apa jadi.

:)

Benar. Kerana hakikatnya kita hamba yang punyai pelbagai rasa, tak sempurna.
Dan kerana kita hambalah, kita kena berusaha jadi hamba yang terbaik.
Hamba yang sentiasa bersabar hadapi ujian,

hamba yang sentiasa bersyukur dengan nikmat dan ujian,
dan lain-lain. 

Bukan mudah. Ya. Tapi kena cuba. CUBA. Allah suka hambaNya yang berusaha.

Bak kata kawan, "Sabar ni bukan lepas kita habis kutuk, caci, hentam segala bagai. Bukan. Sabar ni, bila teruji, terus ingat Allah, terus cuba cari hikmat di sebalik apa yang berlaku. Tak marah-marah. Itu baru dikatakan sabar."

:')

Mesir [Musibah, sabar & redha]

Nak masuk 6 tahun berada di Mesir, alhamdulillah banyak pengalaman dan nikmat yang Allah kurniakan. Banyak yang Allah didik. 


Antaranya, kadang dalam sehari, jumpa orang yang sungguh-menyenakkan-jiwa-membakar-hati. Tapi petangnya, Allah temukan pula dengan mereka yang berjiwa malaikat. Subhanallah.

Kadang benda simple saja, tapi bila Allah uji dan cuit hati seketul, terus rasa lain.

"Orang kata, kita duk Mesir ni boleh belajar menahan amarah dan belajar sabar dengan perangai Arab. Jangan kita yang jadi tak sabar macam mereka (sebahagian) sudah."

Tergelak. Tapi kadang bila difikirkan balik, sangat benar apa yang dituturkannya. :)


...

Sepanjang 6 tahun duk sini jualah, dah berapa kali revolusi tercetus. Allah uji kami pelajar di sini, Allah uji ibu ayah yang ada anak-anak kat sini. Sungguh, segala yang Allah aturkan tak pernah terlintas di benak fikiran. Namun perancangan Allah cukup cantik dan teliti, ada hikmat yang tersembunyi.

Inilah Mesir. :)





nota : Lamanyaaaaa tak post sini. Masuk draft je banyak. -.-


nota 1 : Sabar menanti detik pertemuan, biiznillah. :)

nota 2 : Selamat hari lahir kamu. [Ucapan 21 hari yang lalu. Sepatutnya] 

3 comments

Sepanyol, aku datang! (II)

Bismillahirrahmanirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Mesquita dari Anjung Kubu Al-Asad

Cordoba, 15022014

Hampir sejam berada dalam Mesquita kami keluar untuk teruskan tour di kawasan luar pula. Kali ni bukan Ustaz Azrul yang menjadi tour guide kami, tapi Ahmed. Beliau ialah warga Palestin yang menetap di Spain dan beliau mengkaji tentang sejarah Islam di Spain.

Bak kata Ustaz, untuk yang Cordoba ni kita bagi orang yang duduk sini bercerita.
:)

Ahmed yang fasih berbahasa Inggeris :)


Perluasan kuasa empayar Islam di Cordoba dimulakan oleh Sultan Abdul Rahman I atau dikenali sebagai Sultan Abdul Rahman Ad-Dakhil, pada zaman Umayyah II. Diteruskan kegemilangan Islam pada zaman Sultan Abdul Rahman III (Sultan Abdul Rahman An-Nasir).

Ketika inilah kota Cordoba dikenali sebagai 'nur 'ala nur', dipenuhi dengan ilmu-ilmu. Banyak perpustakaan yang dibina di sini. Kekayaan Cordoba dapat dilihat di dinding-dinding yang ditampal dengan emas. Hebatnya Islam ketika itu.

"Ustaz, boleh ke kita kaya sampai macam tu sekali? Nampak macam melebih-lebih, ke x?" Soalan cepumas pabila kami semua dalam kekaguman mendengar cerita Ahmed.

"Itu untuk menunjukkan kehebatan Islam. Orang Islam mampu untuk jadi kuat dan hebat."

Namun, Sultan Abdul Rahman III kemudiannya mengarahkan orang membuang emas-emas yang ada setelah mendengar kritikan dari orang bawahannya.

Pemimpin kena berjiwa terbuka, mampu mendengar kritikan orang bawah dengan hati penuh terbuka. Tiba-tiba. ;)

Ketika zaman Sultan Abdul Rahman III dikatakan zaman kebangkitan Islam. Kerana Sultan Abdul Rahman III seorang yang bijak, yang sentiasa menggunakan kuasa yang ada untuk kebaikan negara. 

Kalau di Turki kita ada tokoh hebat, Sultan Muhammad Al-Fateh, di Sepanyol kita ada tokoh yang jarang disebut iaitu Sultan Abdul Rahman I, Sultan Abdul Rahman III dan Saidina Thariq bin Ziad. Tokoh-tokoh yang perlu dikenang akan jasa yang ditaburkan, tokoh-tokoh yang perlu dijadikan semangat untuk dakwah Islam.
Allah.

Ukiran senibina Islam - merah

Pabila dibuang - kosong

Pabila kristian berjaya mengambil alih, banyak ukiran dan senibina Islam yang dibuang dan digantikan dengan senibina mereka. Ada sedikit yang ditinggalkan dan dapat dilihat hingga ke hari ini.

Sedih. Tapi apakan daya. Cuma apa yang boleh saya pelajari, umat Islam terdahulu sangat teliti dalam senibina. Halus. Teliti. Kesungguhan yang tinggi. Kita perlu contohi mereka. :')

Kami meneruskan tour dalam hujan renyai yang turun dari awal pagi lagi. Nostalgia. Jalan-jalan bawah payung sambil dengar kisah sejarah. ;)

Ahmed kisahkan pada kami, di kota Cordoba, semua agama hidup dalam harmoni. Dan di dalam kota ini juga ada terdapat semua tempat agama. Baik Islam, Jewish, mahupun Kristian.

Dan di sini juga ada kisah cinta yang menyayat hati bagai Juliet dan Romeo, Laila dan Majnun. Bak kata seorang sahabat;

"Tak sanggup nak dengar. Kita dengar kisah sejarah sudahlah." Haha.

Ada masanya bab cinta kena campak ke tepi. Fokus! Hahaha.

Madinat Al-Zahra


Habis pusing dan menyelusuri kota Cordoba, petangnya kami ke Madinat Al-Zahra. Dalam kesejukan disebabkan hujan, kami 'mendaki' bukit dengan bas. Subhanallah kesejukan mula terasa. Pakai wintercoat pun rasa sejuk sebab angin bertiup kuat.



Di sini bermula ;)

Madinat Al-Zahra, suatu ketika dulu pernah gemilang. Menjadi kota pentadbiran yang jauh dari kesibukan kota Cordoba. Dulu di sinilah tempat di mana para pembesar dari luar yang mahu bertemu Sultan atau menteri.

Indah. Gemilang. Tapi sayangnya Madinat Al-Zahra hanya bertahan selama 80 tahun di bawah pemerintahan Sultan Abdurrahman III (An-Nasir) dan kemudiannya dirobohkan.
Dirobohkan kerana dikatakan semua ini bersifat keduniaan.

My point of view, punyalah orang susah-susah bina, dah habis banyak benda dan duit, tiba-tiba kena roboh. Tak ke membazir? -.-

Memandangkan yang tinggal hanyalah batu bata yang sudah roboh dan yang ada hanyalah tinggalan tapak kawasan, imaginasi yang tinggi perlu ada. Bayangkan... ;)

Jujurnya, kalau kita pergi ke sesuatu tempat tanpa 'study' tentang sejarah tempat tersebut, saya tak rasa best untuk melawat tapak tinggalan sejarah. Kan? Solusinya, kena tahu sejarah. ;)


Pemandangan dari atas






Pokok-pokok - kawasan taman


Dalam kesejukan kami tekun mendengar ustaz menghurai sejarah Andalusia ;)

Kalau dilihat, Madinat Al-Zahra ini turut dibina di atas bukit. Dari atas, mampu lihat kawasan di bawah nun di bawah sana. 
All about strategy. ;)



Sebelum kami ke tapak arkeologi ni, kami singgah di muzium Madinat Al-Zahra dulu. Jarak dia lebih kurang 5 minit naik bas.

"Ustaz, kenapa mereka (orang bukan Islam Sepanyol) masih jaga kawasan ni?"
Macam pelik sebenarnya kerana dalam muzium lagi ada dikisahkan tentang sejarah Islam, malah dipertontonkan kepada kami semua bayangan zaman kegemilangan Madinat Al-Zahra suatu ketika dulu. Kisah gemilangnya Islam.

"Mungkin sebab mereka nak tunjukkan pada kita (umat Islam), Islam sudah jatuh di sini."

"Boleh jadi juga sebab faktor pelancongan. Nak tarik orang datang sini, terutama orang Islam. Macam kita."

Jawapan logik yang kena dengan akal. Mungkin. :)

Kami habiskan petang di Madinat Al-Zahra. Kemudian, balik tu kami singgah di kota Cordoba sekali lagi memandangkan kami masih belum 'membeli-belah'.

Apa yang menjadi kenangan, habis kami membeli-belah, hujan turun dengan lebatnya.
Berjalan kaki sejauh 20 minit untuk balik ke hotel dalam hujan lebat, memang akan dikenang sampai bila-bila. Nostalgia. ;)

Esoknya, kami bertolak ke Granada. Adios Cordoba! Kota Cordoba yang akan dirindui bukan hanya kerana sejarah yang ada bahkan kerana cantiknya susun atur tempat itu.

Hola Granada!


Adios Cordoba. Hola Granada! :)


Tengah hari 16/02/2014 kami bertolak ke Granada. Perjalanan ke Granada mengambil masa 2 jam sahaja. Sepanjang perjalanan, pemandangan di luar sungguh memukau jiwa. Kalau selama ini hanya nampak pemandangan bukit rata menghijau berbumbungkan langit biru dalam gambar, tapi sekarang boleh tengok dengan mata sendiri. Subhanallah. 
:)
Allah Maha Agung yang menciptakan

Sepanyol kaya dengan pokok zaiton

Granada

Sampai di Granada, selepas check in dan solat di Hostel Atenas, kami menuju ke tempat membeli belah, Caldereria Street. Kawasan yang kami singgah, majoriti yang menjual adalah orang arab. Seronok pula bertemu dengan mereka yang boleh berbahasa arab dan BI. :)

Lebih kurang sejam mundar mandir mencari apa yang patut, kami mula 'mendaki' ke Albayzin.

Albayzin merupakan kawasan yang pertama didiami orang Islam ketika zaman pemerintahan orang Islam. Albayzin berada di atas bukit yang menghadap kota Alhambra. Selalunya pelancong macam kami mendaki Albayzin kerana mahu mendapatkan view yang terbaik untuk lihat Alhambra. 

Cantik. Tambah-tambah tika senja melabuhkan tirai. Subhanallah. :)


Alhambra dari view di Albayzin


View di waktu malam





La Mesquita (Masjid)





La Mesquita (Masjid)


Kami solat di masjid di situ dan selepas solat, Ustaz Azrul mengambil peluang untuk meneruskan cerita tentang sejarah Spain dan Granada sambil menikmati malam di Albayzin. 


Usai turun dari Albayzin, sekali lagi kami singgah di kedai cenderamata Medina dan kebetulan di sebelah kedai Medina, ada restoran Kebab King. Halal. Apa lagi, jom makan! :)

Standard harga satu pinggan makanan, 5 euro. Kombo. Ada nasi, lauk dan air. Cukup mengenyangkan setelah seharian berjalan. Alhamdulillah. :)


[17022014]

Jam 8.00 pagi kami mulakan misi untuk menawan Kota Alhambra. Heh. =P

Sekali lagi kami mendaki. Dua hari dekat Granada, memang kena mendaki. Exercise bak kata ustaz. ;)

Sebelum sampai ke Alhambra di atas bukit, dua tiga kali berhenti. Check point. Tiap kali berhenti, ustaz berikan pengisian. Alhamdulillah. Fizikal dijaga, rohani pun diisi. :)


Ustaz cakap, boleh saja kalau nak naik teksi atau bas ke Alhambra, tapi kerana ustaz mahu tunjukkan sesuatu pada kami di pertengahan jalan, maka kena exercise pagi-pagi hari. :)

Ada salah satu tempat yang kami berhenti, ada tugu seseorang yang diletakkan di pertengahan jalan. Saya lupa siapa dia. Tapi apa yang Ustaz mahu tunjukkan adalah di sebelah patung tersebut, ada satu 'tiang' dan di bahagian bawah tiang tersebut terukir kalimah Allah. 

Ustaz kata kemungkinan diletakkan begitu kerana nak tunjukkan Islam sudah jatuh di Sepanyol. Rasa terhina diperlakukan begitu namun apakan daya tiada apa yang boleh dibuat, sekadar mengutuk di dalam hati. -.-
Saya tidak tahu jika ada bantahan untuk buang kalimah tersebut. Saya tidak tahu. 

Dalam Islam, kita diajar untuk menghormati agama lain. Tiada paksaan dalam beragama, namun sebagai orang Islam, kita wajib untuk menyebarkan dakwah Islam kepada semua. Tengok saja sejarah terdahulu kala, kisah Nabi Muhammad yang sentiasa menjaga hati orang lain, kisah para sahabat yang menjaga hubungan dengan agama lain. Dan kita?

Malah dalam Islam juga kita diajar untuk sentiasa berbuat baik. Menghormati orang lain walau dia berbeza latar belakang dan agama dengan kita. Kan? :)

Ada satu pesanan yang cukup lekat di hati saya. Khas buat yang bergelar dai'e.

"Tugas kita sampaikan dakwah kepada orang. Tapi jangan sesekali syadid atau keras dengan mad'u. Kita syadid dengan diri sendiri takpe, tapi bukan dengan orang lain. Jangan hukum atau nilai orang ikut suka hati kita; 'kalau tak buat begini begitu, nerakalah kau.'"

Pesanan yang bermakna, kena sematkan dalam hati. Kerana kita adalah dai'e. :)

Pendakian kami ambil masa dalam setengah jam sebelum Kota Alhambra kami tawan. Alhamdulillah. :)

Kami mencari tempat untuk mendengar perkongsian dari Ustaz sebelum boleh masuk ke dalam. Kalau hari semalam kami menatap Alhambra dari Albayzin, hari ini kami menatap pemandangan Albayzin dari Alhambra pula. Bila tengok balik, tinggi rupanya semalam dan hari ni yang saya panjat. Haha.

Alhambra

Alhambra merupakan perkataan yang diambil dari bahasa arab iaitu hamra' (merah). Dinamakan kerana banyak binaan yang dibina berwarna merah. Kota Alhambra mula dibina pada zaman Sultan Muhammad Abdul Nasir pada tahun 1238.

Kota Alhambra megah berdiri di bawah pemerintahan Islam. Ia pernah menjadi simbol kejayaan Islam. Dan hingga kini kota Alhambra terus dilawati oleh semua orang yang mengunjungi Sepanyol. :)

Masuk ke dalam Alhambra, benda yang saya paling kagumi adalah dari seni binaan kota tu sendiri. Ukiran-ukiran ayat "Wala gharib illa Allah" menghiasi dinding-dinding bangunan. Ukiran yang halus, penuh seni. Subhanallah. Sangat cantik.

Rasanya siapa yang suka seni, tentu jatuh cinta dengan kota Alhambra. Serius. ;)

Albayzin dari kota Alhambra

Sebahagian Alhambra

Wala gharib illa Allah (Tiada pemenang kecuali Allah)

Dinding-dinding Alhambra



Syiling Alhambra

Kesenian yang terukir - indah

Cantikkan? ;)

Dataran Singa - 12 ekor singa

Granada merupakan tempat terakhir jatuhnya empayar Islam di Sepanyol. Granada mampu bertahan di bawah kekuasaan Islam selama 250 tahun. Namun kerana faktor politik dalaman, isu perebutan kuasa dalam kalangan pemerintah sendiri, akhirnya Granada jatuh pada tahun 1492. Jatuhnya Islam di Granada, berakhirlah penguasaan Islam di Sepanyol. Islam kembali asing di bumi Sepanyol. )'=

Maaf, saya tidak mampu mengulas sejarah Granada secara detail. Kurang maklumat terutamanya. Ustaz dah terangkan panjang lebar namun diri sendiri yang tidak mampu mengingati semuanya. Boleh baca sejarah Granada, di SINI dan SINI. InsyaAllah jalan ceritanya masih sama dengar apa yang saya dengar dari Ustaz. :)

Teringat tulisan Ustaz Hasrizal tentang kajiannya tentang sejarah Turki Uthmaniah. Nak menulis buku, perlu mengkaji. Nak tahu sejarah, perlu ke tempat yang ingin dikaji. Cari maklumat yang sahih.

Kami hanya berada di dalam kota Alhambra selama 2 jam lebih. Rasa tak cukup sebab kota Alhambra sangat luas dan besar. Namun dek faktor kekangan masa kerana kami perlu bertolak ke Madrid, kami tak pusing pusing ke setiap penjuru tempat. Sekadar jalan-jalan ke tempat yang perlu pergi! :)

Sebelum Zohor kami balik ke hotel untuk mengambil bagasi dan bertolak ke Madrid. Perasaan sedih mula menjalar di sudut hati. Sekejap rupanya masa berlalu. Taknak balik.

Sepanjang perjalanan dari Granada ke Madrid, saya tak tidur. Menikmati keindahan Sepanyol buat kali terakhir. Hampir 5 jam dalam bas kami tiba semula di Madrid. Kami sempat singgah di shopping mall sebelum naik metro ke Madrid-Barajas Airport.

Adios Madrid! Adios Espana!

Kenangan Terindah


Perancangan yang boleh dikatakan 'last minute' tapi 'ala kulli hal, dengan izin Allah semuanya dipermudahkan. 

Alhamdulillah untuk trip ke Andalusia yang cukup awesome. Alhamdulillah terisi. Sekalung perhargaan buat Thaqafiah Group [sila tekan link ;)] yang menguruskan perjalanan kami, terutamanya Ustaz Azrul Azuan yang menjadi ketua trip kami, yang menemani kami sepanjang berada di Spain. Tak lupa untuk sahabat-sahabat satu trip, kalian semua memang terbaik!

"Nak kenal seseorang, mengembaralah bersamanya." :)

'Ala kulli hal, alhamdulillah. :)

Adios!


nota : Kelas dah bermula. Mari study! ;)

2 comments

Sepanyol, aku datang!

Bismillahirrahmanirrahim,
dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Alhamdulillah dengan izin Allah, saya dan sahabat-sahabat yang lain berjaya menyudahkan pengembaraan di bumi Sepanyol (Spain).

The trip was awesome! ;)
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Post ini panjang. Sangat. ;)

[La Alhambra, 17022014]

Saya masih ingat persoalan mak saudara;

"Buat apa pergi Spain? Ada apa kat sana?"

Bagi yang tidak tahu, bagi yang hanya tengok cerita Sepanyol di TV, rasanya macam tidak ada apa tentang Sepanyol. Mungkin sekadar mahu berlibur. Walhal, di situ adanya tinggalan tamadun Islam. Islam pernah bertapak di bumi Sepanyol. Islam pernah gemilang suatu ketika dulu. Pernah. Bakal kembali gemilang, biiznillah.

Mungkin kerana Sepanyol sekarang bukan negara Islam, kita tidak nampak di mana adanya Islam di situ. Padahal, Islam ada di mana-mana.

Dan kenapa kami memilih untuk ke Spain, atas sebab inilah. Cuba untuk mengetahui sejarah Islam yang pernah ada, cuba mengambil ibrah dari apa yang ditinggalkan. ;)



Turkish Airlines. Nice. 
Hola Madrid! 

Kami berlepas pada 12/02/2014, jam 4 pagi dengan Turkish Airlines. Tika itu hanya kami bertujuh (semua akhawat) memandangkan Ustaz Azrul dan dua orang peserta ikhwah yang lain sudah bertolak awal sehari dari kami.

Tiba di Madrid-Barajas Airport, kami disambut mereka bertiga. Kami mulakan kembara dengan Madrid Tour. Hampir 2 jam lamanya hanya berada di dalam metro (komuter). Kalau jalan sendiri-sendiri, rasanya boleh sesat dalam stesen metro. Heh. Itu satu kekurangan bila berjalan dengan tour guide, tiada rasa nak mencari, hanya ikut.

Kami tinggalkan bagasi di bahagian penyimpanan bagasi di stesen bas. Dan kami mulakan tour dengan singgah di Royal Palace of Madrid. Kalau sesiapa pernah ke London, istana ini umpama Buckingham Palace. Hanya dijadikan istana singgahan untuk majlis rasmi dan di sebelahnya ada satu gereja yang besar.



 Royal Palace
Kenapa kami ke sini?

Sebab dikhabarkan gereja dan istana ini dibina di atas runtuhan masjid dan istana yang dibina pada zaman pemerintahan Islam. Bak kata ustaz, ciri-ciri pembinaan sebuah kerajaan Islam meliputi semua benda. 
Dikelilingi tembok yang masih ada sampai sekarang, dibina berdekatan dengan sungai sebagai pengairan, dibina di atas kawasan yang tinggi. Semuanya kerana strategi. Teringat belajar sejarah pada zaman sekolah dulu, tiba-tiba rasa sejarah itu sangat best! 


Sungai dan Jambatan Rome

Habis pusing di sekitar kawasan istana, taman-taman dan sungai, kami teruskan perjalanan ke Stadium Real Madrid. Kos nak masuk stadium 19 Euro bersamaan RM85 dan tak berapa berminat nak masuk, maka kami berlegar-legar di luar sahaja untuk ambil gambar. Bukti dah sampai sana. Heh.

Saya suka tengok bola, penyokong tegar TRW je lah tapi. =P


Siapa pemain famous Real Madrid? =P

Awal-awal lagi ustaz dah pesan untuk niat jamak taakhir, dan untuk solat kami semua singgah di masjid di kawasan penempatan orang Islam di Madrid. Rasa gembira menyelinap ke jiwa pabila bertemu kedai-kedai yang dimiliki orang Islam, bersua dengan orang Islam di Islamic Centre, mendengar azan di negara bukan Islam - walau hanya dalam masjid sahaja yang dapat didengari. Nikmat manakan yang mampu untuk didustakan lagi? :')


Malamnya, kami singgah di kedai makan milik orang Syria sebelum bertolak ke Gibraltar. Adios Madrid, jumpa di penghujung kembara pula!


Masjid - Islamic Centre







Subuh di Stesen Bas :')


Hello Gibraltar!

"Antara tempat yang dilawati, tempat manakah yang kalian rasakan patut menjadi tempat pertama dilawati dalam trip Andalusia?" Soalan cepumas dari ustaz setelah kami melawat beberapa tempat di Spain.

"Gibraltar!"

Kenapa?


"Sebab di sini di antara tempat terawal Islam mula tersebar di Spain." ;)



 Menuju ke puncak Jabal Thariq

Nama Gibraltar diambil dari bahasa Arab iaitu Jabal Tariq yang dinamakan bersempena nama panglima Islam yang berjaya menawan Sepanyol ketika itu, Saidina Thariq bin Ziad. Bukit ini ditawan ketika perluasan kuasa oleh Islam pada zaman Khilafah Umayyah pada tahun 711.


Bermula dari sini, Saidina Thariq bin Ziad bersama Saidina Musa bin Nusair dan tentera Islam berjaya menguasai Andalusia dalam masa 3 tahun setengah sahaja. Subhanallah.Dapat berada di puncak bukit, kesemua kawasan sekeliling dapat dilihat. Baik di darat, mahupun di laut.

"Kenapa Saidina Thariq bin Ziad memilih bukit?"

"Strategi!"

 Sebab itulah bukit ini yang ditawan pada awal-awal perluasan kuasa Islam. 


Mendengar kalam ustaz di puncak bukit yang pernah ditawan oleh umat Islam suatu ketika dulu berjaya merobek hati. Mereka bersungguh-sungguh mahu luaskan empayar Islam dan sebarkan dakwah kepada semua. Dan kita pada hari ini? Dilahirkan Islam, dibesarkan dalam Islam, tapi apa sumbangan yang sudah dilakukan? )'=



Gibraltar

Menjadi pelabuhan utama di Laut Mediterania

Kami bertujuh :)


Dalam gua di atas Jabal Thariq

Inilah Gibraltar. Agungnya kuasa Allah.

...

"Kita singgah di 'UK' sehari." Kami yang lain tertawa mendengar ungkapan itu.

Gibraltar berada di bawah tadbir UK dan dikatakan masih diperjuangkan oleh Spain untuk diambil kembali. Umpama kisah Batu putih yang pernah direbutkan dahulukala. All about politic. ;)

Masuk Gibraltar berjaya membuatkan saya terimbau kenangan di UK dan Scotland dulu. Rasa seronok mendengar mereka berbahasa omputih, British Accent. Rindu nak mendengar bahasa yang difahami sebenarnya. Berada di Spain, ibarat ayam dan itik. Clueless.

Gibraltar adalah sebuah tempat yang kecil dan cantik. Sangat bersih! Sangat teratur! Sangat kemas! Ini hiperbola. =P

Kami hanya berada di sini dari pagi hingga ke petang sahaja. Kawasannya yang kecil memudahkan pergerakan dan segalanya dapat dibuat dalam masa sekejap sahaja, baik menikmati alam ciptaan Tuhan, makan, solat dan berehat. Alhamdulillah. :)


Laluan yang penuh dengan pelbagai jenis kedai


Tempat lepak dan makan!

King Fahad Mosque, Gibraltar

Nur di Gibraltar ;)

Hola Sevilla!



Kami bergerak menuju ke Sevilla pada petang hari yang sama tika melawat Gibraltar. Hanya 3 jam menaiki bas.

Sampai-sampai di Sevilla, saya sudah teruja melihat bandar 'lama' Sevilla. Cantik.
Bak kata Su, "Mc't mesti suka bandar-bandar macam ni." ;)

Padahal di Mesir banyak sahaja binaan lama yang berusia ratusan tahun, banyak saja bangunan-bangunan ukiran lama. Cuma yang membezakannya adalah bahagian penjagaan. Nampak cantik di Sevilla, bahkan di Scotland sekalipun adalah kerana dijaga dan terjaga. Rasanya kalau di Mesir dijaga sebegitu rupa, tentu cantik! ;')


Selepas check in di Apartment dan menunaikan solat, kami keluar menikmati waktu malam di Sevilla. Kami berjalan-jalan di sepanjang sungai Guadalquivir atau dalam bahasa arabnya, Wadi Kabir (Sungai yang besar). Sungai ini menghubungkan Sevilla dan Cordoba.


Sevilla pada waktu malam

Dari kejauhan, Torre Del Oro dan La Giralda

Esoknya, kami mulakan awal pagi dengan melawat Torre Del Oro atau Menara Tinjau yang dibina pada zaman pemerintahan Islam dan masih kekal hingga ke hari ini. Kemudiannya, ke Alcaza (Istana) dan disebelahnya Giralda (bell tower).



Menara Tinjau @ Torre Del Oro 


Torre Del Oro 




La Giralda 

Sevilla pernah dikuasai oleh Islam pada tahun 712. Nama Sevilla mungkin tidak segah nama Cordoba mahupun Granada. Tapi di sini juga ada tinggalan Islam yang cukup terkenal iaitu La Giralda iaitu menara masjid yang kemudiannya diubah menjadi gereja hingga kini. 

Masih ada ukiran dan seni binaan Islam yang tidak dipadam mahupun dibuang. Namun sayangnya, yang tinggal hanyalah seni ukiran. La Giralda kini sepenuhnya gereja besar di Sevilla.

Kami memilih untuk tidak masuk ke dalam Alcazar (Istana) kerana mahu menjimatkan masa untuk berada lebih lama di Plaza de Espana.
Seperti di Madrid, istana dibina berhampiran dengan tempat ibadah. Pembinaan kerajaan oleh kerajaan Islam meliputi semua perkara, baik pentadbiran mahupun soal ibadat. Kena seiring sejalan. :)




Plaza De Espana

Singgah di Plaza De Espana, kami diberi peruntukan waktu dan bebas mahu buat apa. Boleh mendayung sampan kalau mahu, naik kuda kalau malas nak buat apa-apa, ataupun berbasikal sekeliling Plaza.

Saya pilih untuk berbasikal, sebab nak buang gian nak naik basikal. Kat Mesir, aib! Kat Malaysia, setahun sekali boleh naik basikal keliling rumah. =P

Puas hati singgah sini. Selain bergambar dan mendengar ustaz bercoloteh, sekurangnya ada aktiviti kendiri yang boleh dilakukan. Best! :)

Masuk tengahari, kami mula bertolak ke Cordoba. Adios Sevilla!

Hola Cordoba!


Sampai di Cordoba, lepas check in di Hotel Mariano, kami ke melawat sekitar Mesquita (masjid). Tapi kami tak terus masuk memandangkan waktu lawatan yang free hanyalah pada waktu pagi. Kami hanya berjalan di sekeliling dan tempat yang kami tuju adalah restoran halal milik warga Pakistan. 

Pekena Nasi Beriani sepinggan! ;)

Kalau dah namanya orang melayu, nasi juga dicari. Memang betul pun pepatah(?) ni. Walaupun cuba nak berjimat dengan bawa bekal tuna, sardin, roti, maggi dari Mesir. Perut tetap mahu nasi. Haha.

Alhamdulillah, dua kali dapat jamu nasi di Cordoba cukup mengenyangkan. Saya cukup kagum dengan mereka yang boleh bertahan hanya dengan roti! Haha. :)



Menyusuri laluan di Cordoba

Rumah-rumah yang ada. Beginilah diluarnya. Nice.


Jambatan Rome yang masih kekal ada

Pintu Gerbang Mesquita
 [15022014]


Pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi adalah waktu melawat ke dalam Mesquita. Maka, awal-awal pagi lagi kami keluar dari hotel menuju ke Mesquita. 

Ustaz dah beritahu bahawa guide kat situ sangat strict, pantang kalau ada orang yang jadi tour guide. Ustaz pesan, masuk dalam Mesquita, jenguk kawasan bercermin kat lantai, tengok mihrab, dan cari ayat Quran.

Sampai-sampai sana, Ustaz langsung tak dibenarkan jejak kaki ke dalam Mesquita. Allah. Hanya kami 9 orang yang masuk ke dalam. Pusing dan pusing, cari apa yang diminta oleh ustaz.

Jujurnya, saya tak suka masuk ke dalam Mesquita. Sebabnya... entah. Tak kena dengan jiwa. )'=

Mesquita diambil dari perkataan Mosque iaitu masjid. Mesquita pada awalnya gereja, kemudian dijadikan masjid ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Rahman Ad-Dakhil dan akhirnya kembali dijadikan gereja.



Pintu masuk ke dalam Mesquita

Ayat Quran yang masih ada dan dijaga

Dalam Mesquita :)


Dipetik dari FB Thaqafiah Group; [Sila buka page ;)]

"
Mesquita Cordoba, iaitu masjid yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Islam Cordoba Empayar Islam Umayyah II. Masjid ini menjadi saksi akan kegemilangan pemerintahan Islam sejak tahun 758 sehingga 1031, dan juga menjadi saksi akan kejatuhan yang menyedihkan di sini.

Masjid ini kemudiannya diubah kepada gereja pada kurun ke 15, di zaman pemerintahan King Charles V di bawah penguasaan kerajaan Castile. Peristiwa ini menjadi titik hitam buat umat Islam di mana perjanjian aman yang dimeterai semasa penyerahan Granada kepada kerajaan Catile pada tahun 1492 telah dikhianati dan dibatalkan.

Maka, bermulalah zaman hitam di mana agama Islam tidak benarkan untuk diamalkan. Umat Islam diberi pilihan samada untuk murtad atau keluar dari Sepanyol. Jika ingin beriman dan tinggal di Sepanyol, maka mereka akan dibunuh."


...

Bakal bersambung di Sepanyol, aku datang (ii)! ;)



nota : Nak tulis balik apa yang dapat hari tu, kena baca balik sejarah. -.-


nota 1 : Kenapa tulisan ni macam skema dan formal? Adehhh. 
Macam buat karangan. T_T